KOTA KINABALU – Seorang suspek yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan kes rasuah membabitkan projek infrastruktur pengangkutan Jabatan Kereta Api Negeri Sabah dibebaskan hari ini.
Majistret Stephanie Sherron Abbie memerintahkan kontraktor berusia 60 tahun itu dibebaskan dengan jaminan RM50,000 dan dua orang penjamin tempatan.
Suspek yang ditahan pada 27 Januari lepas dan direman sejak Ahad itu turut diarahkan melapor diri ke pejabat SPRM Sabah sebulan sekali.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa SPRM Mohd Faliq Basirudin manakala suspek berkenaan diwakili peguam Batholomew Jinggulam dan prosiding dilakukan di Lokap Berpusat Kontinjen Sabah.
Sehingga kini, SPRM telah menahan tujuh Individu dengan lima daripadanya telah bebas dan dua masih direman berkaitan kes berkenaan.
SPRM juga melaporkan bahawa pihaknya merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM1.6 juta dan membekukan akaun melibatkan RM5.3 juta dalam beberapa bank berhubung kes itu. – BERNAMA

