BATU GAJAH – Polis menahan sepasang kekasih serta merampas pelbagai jenis dadah dan cecair kloroform yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah dalam serbuan di sebuah rumah di sini, 24 Jan lalu.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah ACP Ahmad Tarmizi Shaari berkata dalam serbuan pada pukul 2.45 petang itu, polis merampas heroin seberat 27 gram (g), ketamine 1.12g, serbuk dipercayai kafein 24.2g dan kloroform 500 mililiter selain menyita sebuah kereta jenis Audi TT bernilai RM100,000.
Katanya polis tidak menolak kemungkinan lelaki berumur 47 tahun itu terlibat dalam kegiatan memproses dadah berdasarkan kepada penemuan cecair kloroform itu atau hanya sebagai orang tengah.
“Siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di kawasan Batu Gajah sejak empat bulan lalu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah di sini hari ini.
Beliau berkata lelaki itu positif dadah dan mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta jenayah.
Suspek lelaki tempatan serta wanita warganegara Vietnam itu dipercayai pasangan kekasih dan polis masih menyiasat sama ada wanita itu turut terlibat dalam pengedaran dadah, katanya.
Beliau berkata kedua-dua suspek kini ditahan reman 14 hari mulai 24 Jan hingga 6 Feb dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam kes berasingan, Ahmad Tarmizi berkata seorang buruh berumur 30 tahun ditangkap kerana memiliki dadah Methamphetamine seberat 58.9g bernilai RM4,100 di sebuah restoran di Jalan Pusing di sini, kira-kira pukul 6.30 petang semalam.
“Suspek kini direman tujuh hari sehingga 7 Feb dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya, dan menambah, buruh itu positif dadah dan mempunyai rekod kesalahan lampau. – BERNAMA

