KOTA BHARU: Pasangan kekasih yang disyaki mendalangi 21 kes pecah masuk kereta membabitkan kerugian lebih RM100,000 sejak beberapa bulan lalu di sekitar kawasan ini akhirnya berjaya ditahan.
Lelaki berusia 47 tahun dan pasangannya berusia 36 tahun itu ditahan jam 6.10 petang Sabtu lalu selepas polis melakukan serbuan di hadapan sebuah kedai di Jalan Sri Cemerlang, susulan kejadian terbaharu di Jalan Wakaf Mek Zainab pada hari yang sama.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata susulan serbuan berkenaan, polis merampas pelbagai barangan termasuk komputer riba, telefon bimbit, wang tunai, sebuah kereta dan peralatan yang digunakan bagi jenayah terbabit.
“Modus operandi pasangan kekasih berkenaan adalah mensasarkan kawasan tempat letak kereta yang tiada kamera litar tertutup. Pada masa sama, kedua-dua suspek juga mengaku turut melatih pelapis untuk melakukan jenayah berkenaan. Jumlah kerugian yang direkodkan lebih RM100,000.
“Ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek juga mendapati mereka positif dadah. Menerusi tangkapan berkenaan, polis percaya berjaya menyelesaikan 21 kes pecah cermin kereta sejak beberapa bulan lalu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Jelasnya, semakan mendapati suspek lelaki mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan narkotik dan jenayah, manakala suspek wanita tidak mempunyai rekod jenayah.
“Kedua-dua suspek kini ditahan reman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.
BHonline-


