DISEMBER lalu, seorang model dari Belanda telah ditemui mati selepas terjatuh dari balkoni sebuah apartmen dekat Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Daily Mail melaporkan bahawa pihak polis telah mengklafikasikan kes itu sebagai mati mengejut kerana mabuk, tetapi sebenarnya penyiasat persendirian telah menemui bukti berbeza selepas kes itu disiasat lebih terperinci.
Wanita yang dikenali sebagai Ivana Smith, 18, merupakan seorang model kelahiran Belanda itu telah terjatuh dari tingkat 20 apartmen tersebut.
Apartmen yang didiaminya itu merupakan milik sepasang suami isteri dikenali sebagai Alexander Johnson, 45, dari Amerika Syarikat dan Luna yang juga merupakan seorang model dari Indonesia.
Menurut penyiasat persendirian dari Britain, Mark Williams-Thomas telah mendedahkan bahawa hasil siasatannya mendapati bahawa kematian Ivana sebagai homisid yang bermaksud dibunuh oleh individu lain.
Selain itu, gambar Ivana diangkat oleh Johnson pada pukul 5.22 pagi sebelum dia ditemui mati itu turut dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) di lif sebuah kelab.
Dalam masa yang sama, selepas melakukan proses post-mortem kali kedua, pakar patologi Belanda, Frank Van De Goot telah menemui bahawa tiada kesan darah didapati dekat kawasan kejadian.
Hal itu menyebabkan dia mengesyaki bahawa wanita tersebut telah mati sebelum dia terjatuh. Bagaimanapun, terdapat kesan lebam di bahagian lengannya yang bukan disebabkan terjatuh dari tingkat tinggi.
Sekitar pukul 7.30 pagi sebelum kejadian iaitu 7 Disember lalu, Ivana telah mengambil gambar swafotonya bersama dengan Luna dan mereka kelihatan begitu mesra berdua serta dihantarkan kepada rakan baiknya.
Namun dua jam kemudian, wanita tersebut telah terjatuh ke atas bumbung tingkat enam apartmen berkenaan. Tetapi, mayatnya hanya dijumpai pada pukul 3 petang dalam keadaannya sedang berbogel.
Hasil keputusan autopsi telah mendapati bahawa terdapat kesan alkohol dan ekstasi di tubuh badannya.
“Saya nampak ada lebam dilehernya, kesan jari serta seolah-olah ada seserang yang menariknya ke sana,” kata bapanya, Marcel Smith kepada portal Algemeen Dagblad.
Johnson merupakan seorang pengasas kepada Everus World, iaitu sebuah syarikat mata wang yang berpangkalan di Kuala Lumpur itu turut menafikan dirinya terlibat dalam kes tersebut.
Jelasnya ketika kejadian, dia masih lagi tidur di kediamannya sekitar pukul 10 pagi hingga tiga petang dan isterinya pula telah keluar bagi menghantar anaknya yang berusia empat tahun untuk ke sekolah.
Pihak polis masih lagi menjalankan siasatan bagi mengetahui punca model tersebut ditemui mati dalam keadaan yang mengaibkan itu. – MYNEWSHUB.CC/AH
*Video sekadar hiasan…