PUTRAJAYA – Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan membantu menyelesaikan kes jurutera sivil warga Malaysia, Richard Lau, yang ditahan di Dubai sejak 27 April 2017 kerana disyaki mencuri wang gaji.
Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Perundangan UAE Sultan Saeed Al Badi kepada Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dalam satu pertemuan di Dubai hari ini (12 Feb).
Menurut Wisma Putra, Anifah turut dijangka melakukan lawatan konsular ke atas Lau di Penjara Pusat, Ras Al Khaimah pada Rabu ini (14 Feb).
“Pertemuan tersebut akan diatur oleh Kementerian Luar Negeri UAE dan Kementerian Perundangan UAE,” menurut kenyataan Wisma Putra, di sini hari ini.
Dalam pertemuan Anifah dan Sultan Saeed yang bertujuan memohon bantuan dan kerjasama berhubung isu penahanan itu, Anifah turut merakamkan penghargaan atas komitmen dan kesediaan kerajaan UAE dalam membantu menyelesaikan kes berkenaan dengan segera, kata Wisma Putra.
Menurut laporan akhbar, Lau, 41, dihantar bertugas ke Ras Al Khaimah, terletak paling jauh di utara UAE oleh syarikat pengangkutan marin Malaysia yang berpangkalan di Miri, sebagai penyelaras projek di syarikat subsidiarinya di sana lima tahun lepas.
Menurut laporan itu, beliau ditahan susulan aduan dibuat seorang warga UAE yang merupakan rakan kongsi syarikat subsidiari itu, mendakwa beliau mencuri wang gaji.
Aduan itu merujuk kepada sejumlah wang dibayar kepada Lau yang sebenarnya adalah gajinya bagi menjalankan tugasnya seperti diarahkan syarikat induk.
Wisma Putra berkata ketika ini, kes tahanan reman Lau masih berlanjutan dan siasatan sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan dan difahamkan pihak pendakwa raya sedang mengumpul bukti-bukti transaksi di dalam akaun milik Lau. – BERNAMA

