KUALA LUMPUR – Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) kini menjalankan kajian kemungkinan untuk melaksanakan aktiviti pengkomposan sisa makanan dan kitar semula di Cameron Highlands, Pahang, yang bermula pada November 2017 hingga Februari 2019.
Kajian tersebut dijalankan secara bersama oleh syarikat Jepun, Merry Corporation, dengan sokongan Kerajaan Bandaraya Kitakyushu dan dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, demikian menurut agensi itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Usaha berkenaan, yang bertujuan untuk mengkaji kemungkinan penggunaan mesin kompos Merry Corporation dan pengetahuan syarikat itu dalam menyelesaikan masalah pengendalian sisa makanan di Cameron Highlands, telah dijalankan dua kali di Malaysia, pada November 2017 dan Januari hingga Februari 2018.
Melalui kaji selidik itu, JICA berkata maklumat telah dikumpulkan, yang diperlukan untuk mengadakan satu sistem untuk mengumpul dan mengangkut sisa makanan yang diasingkan, untuk menghasilkan kompos berkualiti tinggi untuk pertanian dan membina “lingkungan kitar semula” di Cameron Highlands.
Merry Corporation, sebuah syarikat yang memberi tumpuan kepada menyediakan penyelesaian kepada isu-isu alam sekitar dengan pengkhususan dalam pengurusan sisa makanan, terlibat dalam Program Kerjasama JICA (JPP) mengenai peningkatan pengurusan sisa pepejal di Fraser Hill, Pahang, sepanjang tahun 2014 hingga 2016.
Syarikat itu mengumpul sisa makanan dari pasar, hospital, pasar raya dan restoran, berjumlah 1,300 tan pada 2016 dan membawanya ke pusat kitar semula yang dilengkapi dengan mesin pembuatan kompos untuk menghasilkan kompos kepada petani.
Ia telah mempromosikan konsep lingkungan kitar semula yang sama di Jepun dan telah membekalkan mesin pengkomposan kepada 500 kemudahan perniagaan di negara itu dengan kapasiti pemprosesan sebanyak 45,000 tan setahun.
“Pada masa ini, tapak pelupusan di Cameron Highlands adalah kecil dan merupakan jenis pembuangan terbuka. Sisa itu sukar dibakar di loji pembakaran kerana kandungan lembapan yang tinggi, menyebabkan sisa itu diangkut ke tapak pelupusan lain di tempat yang jauh.
“Bagi menyelesaikan masalah ini, pengasingan sisa makanan dari sisa biasa untuk pengkomposaan dianggap sesuai untuk mengurangkan kandungan lembapan yang banyak dan untuk menukarkannya kepada sisa yang boleh dibakar,” kata JICA, dan menambah pengendali hotel, ladang dan pasar tempatan telah menunjukkan minat untuk menyertai lingkungan kitar semula itu. – BERNAMA
*Video sekadar hiasan…

