DRAMA telefilem Nur Kasih sekitar tujuh tahun lalu pernah menjadi fenomena di tanah air kita kerana mempunyai keunikannya yang tersendiri.
Kini, pelakon Fizz Fairuz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainal Abidin, 38, yang baru sahaja menerima gelaran Datuk, dalam perancangan untuk angkat semula Nur Kasih ke layar perak sekali gus menjadi karya sulungnya.
“Sepanjang 13 tahun berkecimpung dalam industri seni, saya banyak belajar proses di belakang tabir, termasuk kerja pengarahan dan penerbitan.
“Memang saya ada hajat untuk duduk di kerusi pengarah, tetapi semua itu memerlukan masa selain ilmu di dada. Saya tak boleh main hentam buat filem kerana mahukan hasil berkualiti,” katanya dipetik BH Online.
Menurut Fizz, dia begitu berharap agar impiannya itu akan dapat dilaksanakan pada tahun ini kerana perancangan bagi merealisasikan filem itu sudah lama difikirkannya sebelum ini.
Dalam masa yang sama, pelbagai respon positif turut diterima olehnya berdasarkan permintaan penonton yang meminati drama dan filem Nur Kasih lakonan hebat oleh Remy Ishak, Tiz Zaqyah dan dirinya sendiri.
“Kalau ada dana atau duit, tetapi buat kerja syok sendiri pun tak boleh juga. Jadi, apabila saya betul-betul bersedia, saya mahu menyemarakkan semula kegemilangan Nur Kasih.
“Sama ada prekuel atau sekuel kepada kisah Nur Kasih The Movie, kita akan umumkan nanti,” ujar Fizz lagi.
Selepas tampil dalam drama Kekasih Paksa Rela, sekali lagi Fizz bakal kembali sibuk bagi menjalani penggambaran drama berantai sebanyak 100 episod berjudul Cinta Tak Kesampaian.
Walaupun turut sibuk mengusahakan restoran yang diberi nama Nur Kasih, Fizz tetap akan terus berlakon kerana dunia lakonan merupakan minatnya sejak kecil lagi.
Selain itu, berkat rumah tangga yang dibina, isterinya, Almy Nadia turut menjadi tulang belakang dan sering membantu memudahkan urusannya.
Hasil perkahwinan mereka pada Mei 2014 lalu, mereka telah dikurniakan tiga orang cahaya mata termasuk seorang anak angkat.
“Saya dan Almy bekerja secara berkumpulan. Di mana ada saya, di situ ada dirinya dan anak-anak. Dia antara orang kuat syarikat yang memastikan segala-galanya berjalan lancar.
“Malah, sejak dulu lagi, jika saya ke luar daerah menjalani penggambaran, saya tetap membawa keluarga bersama-sama,” tambahnya lagi.
Walaupun sudah menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIPM) pada bulan lalu, ia langsung tidak ubah apa-apa kerana dirinya masih Fizz yang dikenali sejak melibatkan diri dalam industri seni. – MYNEWSHUB.CC/AH