SERIUS… Felda menamatkan kontrak 17 syarikat pemaju kerana gagal siap projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) di seluruh negara mengikut tempoh masa ditetapkan agensi itu.
Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Samad, berkata penamatan terpaksa dilakukan berikutan pihak kontraktor utama gagal menyiapkan projek mengikut jadual ditetapkan atau mendapati tiada kemajuan projek yang memuaskan.
“Lembaga Pengarah Felda sudah bersetuju untuk membatalkan (kontrak) kontraktor yang bermasalah tetapi mengekalkan perunding sedia ada. Ini kerana kita masih memakai reka bentuk yang disiapkan oleh arkitek mereka.
“Kita bukan cakap kosong berbanding parti pembangkang yang hanya pandai menuding jari tanpa melakukan sesuatu apa pun. Mencari kesalahan memang mudah dan kita pun mengakui ada kelemahan di sana sini.
“Pihak pengurusan Felda bahkan mengambil inisiatif untuk membaiki segala kelemahan yang sedia ada itu,” kata Shahrir dengan nada serius ketika ditemui pemberita di Felda Lurah Bilut, Pahang pada Khamis
Beliau sebelum itu meninjau persiapan pelancaran Felda 2.0 yang bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di tanah rancangan pertama negara itu pada Ahad ini.
Malah, beliau berkata, Felda akan sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan sekali gus membuktikan bahawa pihak kerajaan serius dalam usaha menyediakan perumahan untuk generasi kedua dan ketiga tanah rancangan itu.
“Kita juga akan membina projek Perumahan 1Felda di Felda Lurah Bilut sebagai inisiatif memperbanyakkan lagi rumah untuk generasi itu dan buat permulaan sebanyak 50 unit rumah sedang dibina secara pasang siap.
“Setiap sebuah rumah tersebut bahkan hanya berharga antara RM70,000 hingga RM90,000 setiap satu,” kata Shahir. Pada masa sama, beliau berkata, Felda turut membenarkan anak peneroka membina sebuah lagi rumah.
Ia ujarnya, juga boleh dibina mereka dalam tapak rumah yang sedia ada di kawasan tanah rancangan masing-masing. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

