THAILAND sememangnya terkenal dengan iklan komersil mereka yang amat kreatif dan sentiasa menyentuh hati penonton.
Kadang-kala, para penonton sendiri tidak dapat menangkap motif sebenar jalan cerita sesuatu iklan itu dihasilkan. Betapa kreatifnya mereka dalam berkarya.
Jadi tidak hairanlah rakyatnya sering dilabel antara masyarakat yang berfikir di luar kotak.
Bercakap mengenainya, siapa sangka lagu tradisional kita akan digunakan oleh rakyat Negara Gajah Putih itu di dalam program realiti nyanyian?
Baru-baru ini, peserta duo rancangan The Voice Thailand mencuri perhatian netizen Malaysia apabila membawakan lagu ‘Dikir Puteri’ dalam salah satu persembahan mereka.
Menerusi video yang dikongsikannya itu, pasangan Pathita dan Saran dilihat elok menggenakan pakaian tradisional, kebaya dan baju melayu sambil melakukan persembahan diiringi kumpulan dikir barat.
Uniknya, persembahan lagu asal nyanyian ratu pop etnik Malaysia, Noraniza Idris itu mendapat sentuhan moden apabila diselitkan dengan lirik rap berbahasa Thailand, sekaligus memberikan nafas baharu kepada lagu berkenaan.
Biarpun ada sebutan yang kedengaran sedikit pelat, namun cubaan untuk bernyanyi dalam bahasa Malaysia itu mendapat pujian menggunung daripada netizen.
“Rasanya, kalau Kak Ani (Noraniza) lihat persembahan mereka ini boleh nangis terharu sebab lagunya jadi pilihan untuk dipersembahkan di The Voice,” tulis seorang netizen.
Apa pun, video yang telah menjadi tular itu sehingga kini telah ditonton lebih 1.3 juta kali di laman YouTube dan Facebook. – MYNEWSHUB.CC