TAK tahulah nak gelak atau nak kesian apabila melihat satu video yang tular baru-baru ini tentang seorang kanak-kanak perempuan tak sengaja menjadi ‘orang minyak’!
Dalam sebuah video yang kini popular di Facebook, bapa kepada tiga orang cahaya mata, Shahrill Abd Rahman dan isterinya, Masliza Romli dilihat sedang mentertawakan anak mereka, Qisya Junaimanshahrill yang jatuh ke dalam parit ketika belajar berbasikal bersama Shahrill.
Insiden melucukan ini terjadi pada 3 Februari lalu dan kini telah dikongsikan hampir 16,000 kali sejak video tersebut dimuat naik.
Pelbagai reaksi netizen dapat dilihat dekat ruangan komen yang mana rata-ratanya turut mentertawakan kanak-kanak itu serta ada juga yang bersimpati dengan ‘nasib malang’ menimpa dirinya yang baru sahaja mahu belajar berbasikal tanpa bantuan roda tambahan.
“Petang Ahad punya cerita, hari pertama belajar naik basikal tanpa roda bantuan. Kejayaan perlukan pengorbanan.
“Keparit juga akhirnya… Dah cakap dah, bukan tak cakap. Jangan salahkan coach ya. Pertikaikan juga cara mandikan anak sebab dalam keadaan cemas, dah macam basuh kereta jadinya,” tulis Shahrill di ruangan caption video tersebut.
Netizen turut mentertawakan cara Shahrill memandikan anaknya kerana gayanya tak tumpah seperti sedang mencuci kereta ataupun motosikal.
Memetik kenyataannya kepada portal mStar Online, Shahrill turut meminta agar netizen tidak mempersoalkan kelakuannya yang metertawakan anak bongsunya itu ketika kejadian dia mandi lumpur tempoh hari.
“Saya gelak sebab masa dia jatuh tu, dia siap ‘posing’ betulkan badan macam orang terjun papan anjal sebelum ‘dive’ (terjun) ke dalam parit.
“Tapi, momen itu tak sempat dirakam. Kalau saya terus marah dia, mungkin dia akan fobia untuk naik basikal lagi,” katanya kepada mStar Online.
Biasalah, nama pun budak-budak, benda yang kita suruh hati-hati itu lah yang akan terjadi kepadanya.
Apa yang lebih melucukan ialah anak perempuannya, Qisya turut membelok tajam ke kiri dan akibat demikian, dia telah hilang imbangan lalu jatuh ke dalam parit.
Bagaimanapun, parit berlumpur berkenaan tidaklah dalam, sebaliknya hanya di paras buku lali sahaja jadi tiada kemalangan jiwa mahupun kecederaan yang dialami oleh anak bongsunya itu.
Disebabkan kejadian jatuh ke dalam parit itu, ianya telah membuatkan Qisya lebih bersemangat dan pada keesokan harinya, Shahril telah memuat naik video yang mana menunjukkan anak perempuannya itu sudah pandai mengawal basikal tanpa sebarang masalah.
“Cerita petang Selasa, akhirnya ke parit membuahkan hasil. Hasil training yang tak pernah putus asa, akhirnya misi tercapai.
“Berjaya nampaknya. Setakat ni, inilah murid paling malang petaka saya pernah dapat. Saya bersyukur walaupun rugi ambil dia jadi pelajar saya.
“Semua benda dia dah langgar, kebun pisang orang lain, kucing dan basikal orang lain pun dia langgar juga,” kata Shahrill sambil ketawa di dalam video tersebut.
Bertambah lucu apabila isterinya bertanyakan tentang keadaan jalan yang mereka lalui semalam dan Shahrill telah memberitahu bahawa kawasan kejadian itu sudah ‘ditutup’ kerana dikhuatiri akan mendatangkan fobia kepada ‘pelajarnya’.

Mungkin kejadian itu akan menjadi kenangan yang pahit dalam hidup anak perempuannya tetapi apabila sudah besar nanti, ianya akan menjadi satu kenangan yang paling manis. – MYNEWSHUB.CC/AH