KUALA TERENGGANU – Pengendali senjata api dinasihat agar lebih berhati-hati ketika menggunakan peralatan itu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku memandangkan kes tertembak rakan sendiri atau individu lain sering terjadi.
Komander Unit Pemusnahan Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, ASP Amin Sidek berkata kebiasaannya, kes sedemikian berlaku kerana jari telunjuk pengendali senjata api berada di bahagian picu senapang sedangkan perkara itu tidak dibenarkan sama sekali.
Beliau yang berpengalaman luas dalam mengendalikan senjata api berkata pengendali senjata api terutama senapang patah seolah-olah sudah terbiasa memegang senjata api itu dengan cara tersebut.
“Itu adalah tidak betul dan perlu diubah bagi mengelak lebih banyak kecederaan atau lebih buruk lagi menyebabkan maut dalam kalangan mangsa.
“Teknologi ketika ini semakin banyak berubah dan senapang patah telah ‘dikunci’ bagi mengelak kes tertembak berlaku. Namun, bagi senapang patah jenis lama, cara ia beroperasi masih sama dan risiko melepaskan tembakan tanpa sengaja sentiasa ada,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Baru-baru ini, seorang lelaki cedera di perut dan tangan selepas terkena tembakan daripada senapang patah yang dipegang seorang kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ketika operasi jabatan tersebut di Kampung Padang Buluh, Besut, selepas anggota Perhilitan itu tergelincir dan terjatuh. – BERNAMA