MELAKA – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka menyasarkan pengambilan anggota sukarelawan 50,000 orang pada tahun ini bagi melatih seramai mungkin rakyat di negeri ini dalam aspek pengetahuan keselamatan dan pertahanan awam.
Pengarah APM Melaka Effendy Ali berkata justeru pengambilan baharu anggota sukarelawan agensi tersebut telah dibuka sejak minggu lepas dan seramai 300 anggota baharu telah dilantik.
Beliau berkata orang ramai yang ingin menyertai anggota sukarelawan APM perlu menjalani ujian fizikal dan sesi temu duga, bagi melihat tahap kecergasan mereka sebelum lantikan dilakukan.
“Setakat ini kami mempunyai 70,000 anggota sukarelawan di seluruh negeri ini yang akan digerakkan untuk membantu dalam misi menyelamat nyawa atau harta benda apabila berlaku sesuatu bencana.
“APM amat memerlukan keanggotaan sukarelawan yang ramai selaras dengan peranan kami sebagai satu daripada agensi penting dalam pengurusan bencana,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Setia APM Melaka dan Pelancaran Op Bantu ke-16 sempena Tahun Baharu Cina di sini, hari ini.
Sementara itu, Effendy berkata anggota APM masih diletakkan dalam keadaan bersiap sedia bagi menghadapi sebarang bencana khususnya banjir yang berkemungkinan berlaku berikutan musim Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir Mac depan.
Beliau berkata pemantauan kerap dilakukan terutama ketika hujan lebat agar langkah awal dapat diambil termasuk pembukaan pusat pemindahan banjir.
Dalam pada itu, katanya pelaksanaan Op Bantu ke-16 sempena Tahun Baharu Cina akan melibatkan keanggotaan seramai 32 orang yang akan melakukan rondaan 24 jam di jalan raya bagi memberikan bantuan kecemasan dan bukan kecemasan.
“Op ini akan diadakan dua hari sebelum Tahun Baharu Cina iaitu pada 14 dan 15 Feb serta dua hari selepas perayaan berkenaan iaitu pada 17 dan 18 Feb,” katanya.
Beliau berkata rondaan tersebut akan melibatkan jalan negeri, persekutuan dan lebuh raya dalam kawasan negeri berkenaan. – BERNAMA