SEBELUM ini, pelakon filem Juvana, Adam Shahz pernah akui bahawa selepas dia memenangi anugerah dalam kategori Pelakon Baru Lelaki Terbaik bagi Festival Filem Ke-28 (FFM28), dia bagaikan terkena ‘badi’ kerana anugerah tersebut.

November lalu, Adam akui bahawa selama enam bulan, dia langsung tidak menerima apa-apa tawaran lakonan dan kini, sekali lagi bekas suami kepada pelakon Fatin Afeefa itu mengakui perkara terbabit.
Baca: “Anugerah Itu Macam ‘Badi’ Bagi Saya” – Adam Shahz
“Saya akui, selama enam bulan saya tidak mendapat tawaran berlakon. Saya tak dapat peluang kerja seni pun kerana ada orang melakukan sesuatu yang tidak baik kepada saya. Pelbagai benda pelik saya jumpa di rumah,” katanya dipetik daripada BH Online.

Semalam, Adam telah mengeluarkan kenyataan di akaun Twitter miliknya bahawa dia berasa berang dengan tindakan Fatin seolah-olah menuduh dia mengganggu ketenteraman hidup ibu tunggal muda itu.
Juga: Sihir, Curang, Status Anak: Adam Bongkar Rahsia Fatin
Adam juga berasa agak kesal dan terkilan dengan kenyataan pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu yang kononnya selama ini membantu dirinya ketika dalam kesusahan.

Dalam masa yang sama, Adam turut berasa sakit hati kerana dituduh menggunakan wang bekas isterinya dan perkara itu turut memberi kesan besar kepada ibunya sendiri.
“Selama ini, ibu saya menganggap kami bercerai kerana kononnya saya yang buat hal. Tetapi, saya diamkan dan buat tak tahu saja.
“Dalam tempoh enam bulan itu, saya tiada pendapatan dan menjadi pemandu Grab bagi menyara hidup. Tetapi, saya tidak mengganggunya. Dia sengaja membuatkan saya dipandang buruk bagi menutup sesuatu. Dia menuduh saya mengintip dirinya di rumah, sedangkan saya lalu di kawasan itu bagi menghantar penumpang pulang,” ujarnya.

Bagaimanapun, baginya sebagai individu yang dikenali, pastinya setiap tingkah-laku dan perbuatannya sebagai seorang selebriti akan diperhatikan oleh orang lain.
“Jadi, buatlah sesuatu yang elok kerana banyak mata memandang kita. Bukankah pelik apabila dia mempersalahkan saya kerana netizen marah padanya, selepas melihat dirinya berubah?” tambahnya lagi.
Tambah Adam lagi, jika bekas isterinya berterusan membuat pertuduhan yang tidak berasas, dia sama sekali tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis atas perbuatan tersebut. – MYNEWSHUB.CC/AH

