KUALA LUMPUR – Sejumlah 26 individu ditahan dalam Op Tapis di sebuah pusat hiburan di Jalan Pahang, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Shaharudin Abdullah berkata serbuan di pusat hiburan berkenaan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kira-kira 2.30 pagi.
Menurutnya, polis melakukan pemeriksaan terhadap 73 individu dan menahan 24 individu positif dadah selain dua lagi pengunjung ditahan dipercayai memiliki dua pil ecstacy.
“Tangkapan terdiri daripada 14 lelaki dan enam wanita tempatan, selebihnya enam warga asing termasuk dua wanita. Kesemua yang ditahan berumur lingkungan 18 hingga 50 tahun,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Kesemua mereka direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15 (1)(a) akta yang sama atas kesalahan menggunakan dadah. – BERNAMA

