JOHOR BAHRU – Seramai 20 warga Filipina ditahan atas pelbagai kesalahan penyalahgunaan dokumen pengenalan diri dalam operasi bersepadu yang dijalankan di daerah ini, hari ini.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata operasi awal pagi tadi itu, dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Penahanan itu hasil siasatan dan risikan terperinci selama hampir sebulan Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya,“ katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Dalam operasi tersebut, beliau berkata pihaknya turut menemui kad pengenalan dan dokumen pendaftaran palsu digunakan mereka yang ditahan itu.
Mohammad Razin berkata hasil semakan awal di lokasi mendapati semua tahanan menggunakan dokumen palsu bagi tujuan mendapatkan pekerjaan di sekitar kawasan perindustrian Pasir Gudang.
Beliau berkata kesemua mereka ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana menggunakan kad pengenalan palsu dan memiliki kad pengenalan milik orang lain sebagai pengenalan diri.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya, kata beliau.
Mohammad Razin menegaskan pihaknya akan sentiasa menguatkuasakan undang-undang sedia ada bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terpelihara daripada manipulasi pemalsuan dokumen pengenalan diri.
Selain itu, beliau turut menekankan komitmen tinggi JPN untuk meneruskan operasi seumpama itu pada masa akan datang sehingga kegiatan pemalsuan dokumen pengenalan diri dapat dikekang sepenuhnya. – BERNAMA