DUNGUN – Dua buah rumah kayu musnah seratus peratus dalam kebakaran di Kampung Che Lijah, di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Penolong Penguasa Bomba Saifuddin Muhammad berkata kebakaran yang bermula kira-kira pukul 11 pagi itu melibatkan sebuah rumah pusaka dan sebuah rumah yang separuh kosong.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 11.29 pagi dan beliau bersama sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Dungun tiba di lokasi 15 minit kemudian.
“Sampai sahaja di sana api sudah marak di kedua-dua buah rumah ekoran jarak rumah yang agak dekat dan diperbuat daripada kayu. Kami terus ke rumah yang ketiga dan mula memadamkan kebakaran kerana jarak agak dekat supaya api tidak merebak,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Saifuddin berkata mereka mengambil masa hampir sejam untuk memadamkan kebakaran sepenuhnya dan operasi itu turut dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Al Mukhtafi Billah Shah serta Paka.
Katanya setakat ini tiada kecederaan atau kematian dilaporkan kerana pemilik rumah pertama kebetulan tiada di rumah manakala penghuni rumah kedua pula dalam proses untuk pemindahan barang.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan namun ada saksi awal berkata mereka nampak api bermula di bahagian tengah rumah pertama,” katanya. – BERNAMA