MELAKA – Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) melaksanakan penukaran paip asbestos uzur dan rosak di bawah tanah melibatkan jarak 250 kilometer kepada paip jenis keluli lembut, dengan perbelanjaan mencecah RM284 juta sejak 2010.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Khalid Nasir berkata langkah itu diambil bagi mengelak paip asbestos berusia lebih 30 tahun yang uzur atau kritikal pecah dan mengganggu bekalan air terawat di negeri ini.
“Penukaran paip asbestos kepada jenis keluli juga dapat mengurangkan kadar kehilangan air tak berhasil (NRW) di negeri ini dan hingga kini NRW di Melaka adalah yang terendah di Malaysia iaitu antara 19.3 peratus pada 2015 dan 19 peratus pada 2016, berdasarkan laporan Malaysia Water Industry Guide 2017.
“Kerja-kerja penggantian paip asbestos itu terus dilaksana secara berperingkat hingga kini dan keutamaan diberikan pada kes atau keadaan paip yang kritikal atau berpotensi pecah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar tentang paip lama jejas bekalan air di lima negeri termasuk di Melaka, yang dilaporkan media semalam.
Turut hadir Ketua Pegawai Operasi SAMB Abdul Rahman Mohd Said.
Mohd Khalid berkata secara keseluruhan terdapat kira-kira 1,250 kilometer paip asbestos di negeri ini dan penggantian kepada jenis keluli adalah yang terbaik kerana mempunyai jangka hayat hingga 50 tahun.
Beliau berkata kos penukaran paip itu ditanggung sepenuhnya oleh SAMB selain pinjaman daripada Pengurusan Aset Air Berhad.
Katanya setakat ini kes paip pecah yang dilaporkan semakin berkurang dari tahun ke tahun iaitu purata kira-kira 3,200 kes setahun sejak 2008 berbanding purata hanya 200 kes setahun.
Beliau berkata berdasarkan rekod, isu paip uzur bukan punca utama gangguan bekalan air bersih sebaliknya ia lebih kepada gangguan air mentah.
Mohd Khalid berkata pada masa kini SAMB berupaya membekalkan 585 juta liter air terawat sehari untuk kegunaan lebih 900,000 penduduk di seluruh negeri.
Beliau berkata sebanyak 298,000 akaun pengguna direkodkan menggunakan air terawat yang disalurkan SAMB, manakala peratus penggunaan bekalan air bagi industri dan domestik adalah sama iaitu 50 peratus. – BERNAMA
