JOHOR BAHRU – Seorang penolong pegawai veterinar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tiga pertuduhan menerima suapan bernilai RM3,500 daripada syarikat kontraktor pembekalan lima tahun lalu.
Ketua Unit Ruminan di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor Mohd Razi Basar, 41, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Mohd Razi yang mempunyai kaitan dengan tugas rasminya di Jabatan Veterinar Johor, didakwa menerima wang bernilai RM1,000 dan RM1,500 ringgit daripada Pengurus Syarikat Better Z Enterprise Mohamad Zakariah Mohamad tanpa sebarang balasan.
Ia bagi membantu mendapatkan kerja membekal dan menghantar bahan binaan kandang kambing dan lembu kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor.
Untuk pertuduhan ketiga pula, dia didakwa menerima wang bernilai RM1,000 tanpa sebarang balasan daripada Mohamad Zakariah bagi membantu mendapatkan kerja membekal dan menghantar pagar “cyclone” kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor.
Tertuduh didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan tersebut di sebuah bank di pusat membeli belah di Johor Bahru antara November 2013 hingga Oktober 2014.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Peguam Tan Song Yan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menetapkan wang jaminan yang mininum dengan alasan tertuduh perlu menanggung seorang isteri yang tidak bekerja dan tiga anak berumur tiga hingga lapan tahun selain tertuduh sedang bercuti tanpa gaji.
Mohd Fauzi kemudiaa membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa SPRM Norsyarina Raizan dan mahkamah menetapkan 19 Jan ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

