KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan profesional negara, Liew Daren berada dalam kelas tersendiri apabila mudah mara ke pusingan kedua kejohanan Perodua Masters Malaysia di Arena Axiata, Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil, hari ini.
Lebih mengejutkan, Liew yang turun selaku pemain kelayakan menewaskan pilihan keempat Son Wan Ho dari Korea Selatan 21-15, 21-13 untuk bertemu seorang lagi pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin di pusingan seterusnya.
“Memang sangat berpuas hati sebab saya tidak menjangka boleh mengalahkan beliau (Son Wan Ho). Saya banyak membuat serangan pada set pertama kemudian pada set kedua beliau juga tidak begitu yakin, jadi saya terus melakukan serangan untuk memenangi perlawanan.
“Tiada tekanan bermain di kejohanan ini kerana saya bergerak secara profesional. Saya berharap dapat menjuarai satu atau dua kejohanan tahun ini untuk menaikkan ranking dunia,” kata Liew yang kini menduduki ranking ke-88 dunia.
Turut mara adalah Lee Zii Jia menewaskan Emil Holst dari Denmark dengan straight set 21-12, 21-18 dan akan membuat perhitungan dengan Jonatan Christie dari Indonesia, yang menyingkirkan pilihan keenam Chou Tien Chen dari Taiwan 21-11, 24-22.
Zii Jia mengakui bukan tugas mudah berdepan Jonatan yang merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur tahun lepas.
“Saya memang berazam tidak mahu mengulangi persembahan buruk di sini (Axiata Arena) kerana pada Sukan SEA lalu saya kalah di sini. Saya sangat gembira memulakan perlawanan hari ini dengan baik tetapi tidak boleh selesa lagi kerana perjalanan masih jauh,” katanya.
Sementara itu, nasib tidak menyebelahi tiga wakil negara – Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Soong Joo Ven dan pemain profesional Chong Wei Feng yang tewas kepada lawan masing-masing.
Iskandar kalah kepada Anders Antonsen dari Denmark dalam pertarungan sengit 10-21, 21-11, 9-21 manakala Joo Ven tewas kepada Brice Leverdez dari Perancis 8-21, 12-21 dan Wei Feng disingkirkan pemain pilihan ketujuh Ng Ka Long Angus dari Hong Kong 15-21, 11-21. – BERNAMA

