TAWAU – Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau menahan seorang lelaki tempatan di Jeti Sri Diamond Logpond Sungai Tanjung Batu di sini, selepas cuba menyeludup keluar barangan kawalan bernilai RM13,292 ke negara jiran, petang semalam.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohd Yazib Abd Aziz berkata penahanan lelaki berumur 46 tahun itu dibuat selepas Unit Risikan Marin menerima maklumat mengenainya pada 4.30 petang dan seterusnya melakukan pemeriksaan ke atas sebuah bot jongkong.
“Hasil pemeriksaan menemukan kira-kira 3624 kilogram gula pasir jenama Prai (RM10,872), 20 kotak minyak masak (RM1,020) serta tujuh tong gas memasak (RM1,400) yang tersimpan di bawah longgokan barang runcit,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Yazib berkata bot jongkong dan juragan terlibat kemudiannya diiring ke Pangkalan PPM Tawau dan kes diserahkan kepada Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk disiasat. – BERNAMA

