GEORGE TOWN – Seorang lelaki dan dua wanita ditahan bagi membantu siasatan kes sindiket penipuan pelaburan membabitkan kerugian lebih RM700,000, dalam operasi polis di Bukit Mertajam, dekat sini semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A.Thaiveegan berkata mereka yang berusia 40 hingga 48 tahun itu ditahan di beberapa lokasi di sekitar Bukit Mertajam bermula pukul 4 petang semalam.
“Polis menerima laporan daripada beberapa orang mendakwa ditipu tiga individu terbabit yang menawarkan satu skim pelabur yang menjanjikan pulangan sebanyak satu peratus sehari atau 30 peratus sebulan daripada wang yang dilaburkan.
“Berdasarkan siasatan awal, ramai mangsa di negeri ini terpedaya kerana pada peringkat awal ada pelabur yang mendapat pulangan daripada skim itu namun selepas itu mereka gagal mendapatkan sebarang wang malah duit yang dilabur dalam skim itu juga tidak dipulangkan,” katanya hari ini.
Beliau berkata semua aset milik tiga individu terbabit bernilai lebih RM1 juta akan dibekukan untuk siasatan.
Thaiveegan berkata siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan beberapa lagi anggota sindiket pelaburan berkenaan dan dipercayai mereka masih berada di sekitar Pulau Pinang.
Beliau turut meminta orang ramai yang menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan itu agar membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan. – BERNAMA

