NEW DELHI – Ikon layar perak India yang dipuja seperti dewa di sesetengah tempat di negara itu, Rajinikanth semalam mengumumkan hasratnya untuk menceburi dunia politik tempatan.
Pengumuman secara mengejut oleh aktor veteran itu mengakhiri penantian hampir dua dekad oleh ramai peminatnya, terutama sekali di negeri Tamil Nadu yang dia sering dipuja sehingga digelar ‘The Superstar’.
“Saya akan menubuhkan parti politik saya sendiri dan bertanding untuk rebut semua 234 kerusi pada pilihan raya negeri akan datang,” katanya di dalam sebuah dewan dipenuhi penyokongnya di ibu negeri Tamil Nadu, Chennai.
Negeri tersebut yang mempunyai seramai 72 juta penduduk, ketika ini berdepan dengan ketidakstabilan politik selepas kematian ketua menterinya yang berkarisma, Jayalalithaa Jayaram, juga seorang bekas bintang filem.
Rajinikanth, 67, pernah bekerja sebagai seorang konduktor bas di bandar Bangalore, selatan India sebelum berpindah ke Chennai pada tahun 1973 untuk mengejar impiannya menjadi seorang pelakon filem tanah air.
Dia berjaya menjadi bintang hiburan paling terkenal dalam sejarah dunia perfileman Tamil. Antara filem yang menaikkan nama aktor legenda itu termasuk Chandramukhi, Sivaji: The Boss, Kabali dan Padayappa.
Rajinikanth pernah terima pujian luas kerana berseorangan mengalahkan kerajaan Tamil Nadu pada 1996 apabila meminta penyokongnya agar tidak mengundi parti pemerintah beberapa hari sebelum pilihan raya bermula.
“Saya bukan ceburi dunia politik untuk dapat jawatan, wang ataupun kemasyhuran kerana saya sudah memiliki semua ini,” kata beliau yang juga pemilik nama asal Shivaji Rao Gaekwad dipetik media tempatan semalam.
Ramai peminatnya dlaporkan bergembira dengan membakar mercun, menari dan melaungkan slogan sokongan untuk Rajinikanth di luar dewan itu selepas pengumuman rasmi tersebut. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA