AKTRES Dynas Mokhtar menjalani kursus perkahwinan buat kali kedua meskipun pernah menghadirinya sewaktu persiapan perkahwinan pertamanya suatu ketika dahulu.
Menurut Dynas atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, 35, dia mengambil semula kursus itu untuk ‘mempelajari’ semula mengenai ilmu alam perkahwinan sebelum berkahwin dengan tunangnya, Shazrik Din, 34, pada April ini.
“Saya dan Rik (Shazrik) pergi kursus kahwin Sabtu lalu. Agak kelakar juga, sebab peserta lain semua muda dan kami saja yang sedikit berusia.
“Pada mulanya, saya cakap kepada Rik sudah pernah pergi, tetapi dia ajak juga. Malah, dalam nada berseloroh dia bagi ‘amaran’. Kalau nak kahwin dengan dia, kena pergi juga. Kalau tidak, tak boleh kahwin,” katanya kepada Harian Metro.
Yang lucunya, menurut Dynas, bakal suaminya akan ‘mengulang’ semula apa yang diajar semasa kursus itu kepadanya.
“Rik banyak kali ulang apa yang ustaz ajar. Dia pula beri ‘ceramah’ semula. Dia cakap, dalam perkahwinan ini kena berhati-hati dan banyak berkomunikasi.
“Malah, dia juga pesan kalau berkahwin nanti tidak boleh buat keputusan sendiri. Sentiasa berbincang dalam apa jua perkara ingin dilakukan,” katanya.
Dalam pada itu, Dynas mengatakan sebenarnya pada awalnya mereka tidak meletakkan tarikh yang tetap untuk diijab kabulkan, malah mereka berdua pernah merancang untuk nikah pada Februari atau Mac.
“Namun, selepas mengadakan perbincangan dengan kedua belah pihak, semua bersetuju pilih April. Namun, saya belum boleh berkongsi tarikh.
“Insya Allah, saya akan maklumkan kepada semua. Jadi, doakan segala yang dirancang berjalan lancar dan urusan kami dipermudahkan Allah,” katanya.
Pasangan ini bertunang pada Oktober tahun lalu selepas empat tahun bercinta. – MYNEWSHUB.CC