KUALA TERENGGANU – Jumlah mangsa banjir di Terengganu menurun kepada 2,270 orang daripada 541 keluarga pagi ini berbanding 2,338 mangsa daripada 564 keluarga malam tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata ketika ini, hanya satu daerah masih terjejas banjir di Terengganu iaitu Kemaman dengan sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka berbanding 13 PPS semalam.
Katanya, pengurangan mangsa dijangka terus berlaku pada waktu tengah hari dan petang berikutan cuaca kini yang semakin baik.
Empat PPS yang ditutup ialah PPS Lubuk Megat, Masjid Kampung Batu 16, Dewan Orang Ramai Batu 14 dan Surau Hj Othman Kampung Seberang Tayor Hulu.
PPS yang masih dibuka ialah Surau Kampung Ban Ho yang menempatkan 18 mangsa daripada tiga keluarga, PPS Kg Pasir Gajah 12 mangsa daripada empat keluarga dan Surau Pulau Tempurung, 105 mangsa daripada 18 keluarga.
Seramai 226 mangsa daripada 60 keluarga pula ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Felda Seberang Tayor, SK Chukai (179 mangsa daripada 41 keluarga) dan SK Binjai (84 mangsa daripada 17 keluarga).
Jumlah mangsa kekal di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok, Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman dan SK Seri Iman. – BERNAMA

