PAS kini hanya ada dua pilihan, sama ada terus kekal menjadi pembangkang utama di Parlimen atau bakal membentuk kerajaan campuran dengan menjadi komponen Barisan Nasional (BN).
Isu itu timbul selepas hasrat PAS bertanding di lebih 130 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 berjaya diperlekehkan oleh Pengerusi Pakatan Harapan yang belum didaftarkan, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki, berkata, kenyataan Mahathir, 92, yang mendakwa hasrat PAS sebagai ‘angan-angan Mat Jenin’ ibarat cuba menutup pintu kerjasama dengan parti siasah itu.
Ini mungkin berlaku jika gabungan pakatan pembangkang tersebut hanya memperoleh kurang kerusi Parlimen bagi membentuk kemenangan majoriti mudah iaitu 112 kerusi daripada keseluruhan 222 kerusi di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, dengan sikap itu juga, cita-cita Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu untuk kembali semula menjadi Perdana Menteri yang ketujuh juga akan langsung berkubur seumpama ‘angan-angan mat jenin’.
Setakat ini ujar Mohd. Zuhdi, PAS belum menetapkan sebarang keputusan jika situasi ‘hung Parliament‘ berlaku, sama ada akan bersama BN atau gabungan pakatan pembangkang untuk membentuk kerajaan campuran.
Malah PAS mungkin pula akan terus jadi pembangkang terkuat di Parlimen sekali gus jawatan ketua pembangkang bakal dipegang semula oleh wakil parti itu daripada penyandang sedia ada Wan Azizah Wan Ismail dari PKR.
“Dengan sikap terbaharu Mahathir ini, maka pilihan yang tinggal kepada pihak PAS hanya dua iaitu sama ada terus kekal menjadi pembangkang utama di Parlimen atau dijangka membentuk kerajaan campuran dengan BN.
“Oleh sebab itu, sasaran minimum PAS untuk memenangi 40 kerusi tidak seharusnya diperkecilkan,” katanya kepada sebuah akhbar tempatan. PAS ketika ini cuma ada 13 kerusi selepas enam wakilnya keluar menyertai PAN.
Selain menyifatkan hasrat PAS itu sebagai `angan-angan Mat Jenin’, Mahathir mendakwa PAS bercita-cita tinggi untuk bertanding lebih 130 kerusi Parlimen kerana parti itu kadang kala hanya memenangi satu kerusi Parlimen.
Ia susulan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini memaklumkan parti itu bertanding lebih 130 kerusi Parlimen pada PRU ke-14, dengan harapan memperoleh sekurang-kurangnya majoriti mudah.
Mengulas lanjut, Mohd. Zuhdi yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, berkata Mahathir seharusnya menyedari sukar untuk mana-mana parti atau gabungan parti politik memenangi majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.
Apatah lagi dalam senario pertandingan tiga penjuru atau lebih sebagai mana pernah berlaku ketika Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Kangsar di Perak dan Sungai Besar di Selangor pada 2016 lalu menyaksikan BN menang besar.
Beliau berkata, dalam konteks global, keputusan seperti itu kerap berlaku mutakhir ini termasuk di United Kingdom yang dahulu lebih dikenali sebagai negara yang mengamalkan sistem dua parti antara Konservatif dan Buruh.
“Jika BN, Gagasan Sejahtera diterajui PAS atau Pakatan Harapan tidak boleh membentuk kerajaan, melainkan bergabung, maka sikap angkuh Mahathir ini menandakan beliau sudah menutup pintu dengan PAS,” katanya.
Parlimen bakal bubar secara automatik pada 24 Jun ini membolehkan PRU ke-14 berlangsung kecuali pembubaran diperkenankan Yang di-Pertuan Agong lebih awal atas nasihat Perdana Menteri. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

