KEMATIN seorang remaja maut ditimpa kerusi pejabat dibaling dari tingkat atas sebuah pangsapuri di Blok 102 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam malam tadi menggemparkan negara ini.
Apa yang lebih menyayat hati, ibu mangsa, S Kasthurivai, 45, terpaksa melihat dengan matanya sendiri bagaimana anak lelakinya, S.Sathiwaran, 15, meninggal dunia di tempat kejadian dalam keadaan yang tragis.
Mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle Petaling Jaya, Selangor itu bersama-sama dengan ibunya menuju ke rumah mereka setelah pergi ke kedai.
Menceritakan lebih lanjut tentang kejadian malam semalam, Kasthurivai bersama-sama mendiang Sathiwaran turun ke bawah untuk membeli kad tambah nilai bagi membuat kerja sekolahnya.
Baca: Pelajar Maut Ditimpa Kerusi Dari Tingkat Atas PPR

Namun, kad tambah nilai sudah kehabisan di kedai runcit berkenaan. Apabila mendiang mendekati ibunya, secara tiba-tiba sebuah kerusi melayang dari atas dan hempap betul-betul di atas kepala Sathiswaran sehingga terbelah!
“Ketika itulah otaknya terburai. Saya menadah otaknya dengan dua belah tangan saya sambil memandang ke arah anak saya yang sudah terkulai. Kemudian, saya terus jerit meminta tolong,” cerita Kasthurivai dengan linangan air mata.
Wanita itu juga kelihatan masih trauma atas kejadian yang menimpa anak bongsunya itu.
“Ini bukan soal nyawa orang India. Bukan juga soal bangsa Melayu atau Cina tetapi kejadian ini melibatkan satu nyawa remaja yang langsung tidak berdosa kerana kecuaian orang lain.
“Hari ini anak saya kena. Kalau esok lusa, anak orang lain atau sapa-sapa kena, kenapa tiada tindakan dalam hal ini? Sebelum ini pun sudah banyak kes baling barang berlaku, ada mangsa kena 16 jahitan, ada kena enam jahitan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya.
“Anak saya yang baik sudah tiada. Siapa yang nak ganti nyawa anak saya yang sudah tiada akibat kecuaian orang lain?” kata ibu malang itu lagi penuh hiba.
Difahamkan, mayat mangsa berada di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat sebelum dipulangkan kembali kepada keluarganya bagi urusan pengebumian.
Dalam pada itu, seorang ahli keluarga mangsa, yang hanya mahu dikenali sebagai Citra mahu pihak pengurusan PPR untuk mengambil tindakan lanjut susulan kejadian yang berlaku.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Ruslan Khalid mengesahkan kejadian. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kematian secara cuai. – MYNEWSHUB.CC