TAWAU – Polis menafikan dakwaan yang tular di aplikasi Whatsapp mengenai penculik yang memandu sebuah kenderaan aktif menculik kanak-kanak di Sekolah Kebangsaan Muhibah dan sekitar Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata maklumat yang tular itu adalah palsu dan disebarkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
“Tidak ada kejadian seumpama berlaku, pihak polis juga telah bertemu pemilik kenderaan yang dimaksudkan dan pemiliknya merupakan seorang wanita berumur 52 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Fadil turut menasihatkan orang ramai memeriksa kebenaran sesuatu maklumat sebelum menyebarkannya kerana tindakan menyebar maklumat berunsur khianat boleh dikenakan tindakan undang- undang sepertimana diperuntukkan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sejak semalam, tular kenyataan kononnya suspek memandu sebuah kereta jenis Perodua Alza cuba menculik kanak-kanak berdekatan SK Muhibah dan memohon ibu bapa lebih berhati-hati ekoran penculik terbabit aktif di Tawau. – BERNAMA