KUANTAN – Cuaca bertambah baik menyaksikan jumlah mangsa banjir di Pahang mulai berkurangan setakat 9 pagi ini kepada 6,575 orang ditempatkan di 42 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 7,560 orang malam tadi.
Menurut Portal Infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak lapan buah daerah di negeri ini dengan daerah Kuantan masih merekodkan jumlah mangsa paling banyak iaitu 4,954 orang yang ditempatkan di 22 PPS.
“Daerah Pekan mencatatkan 1,278 mangsa yang ditempatkan di tujuh PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Merchong Jaya sebanyak 548 orang, Sekolah Sinar Mutiara Sungai Miang (414 orang),
“Selain itu mangsa turut ditempatkan di SK Permatang Keledang (224), Balai Raya Kampung Menchupu (65), Pusat Pemindahan Banjir Kampung Pulau Manis (13), SK Temai (12) dan dua orang di Balai Raya Kampung Tebat,” menurut portal itu.
Dalam pada itu, di Bera terdapat 138 orang ditempatkan di lima buah PPS iaitu SK Kuala Triang (71), SK Charuk Puting (24), Masjid Kampung Mengkarak (18), Masjid Kuala Bera (13) dan Balai Raya Kampung Seberang Guai (12).
Di Maran terdapat 93 orang ditempatkan di tiga PPS iaitu Balai Raya Kampung Baru Pertanian (31), SK Pesagi (sembilan) dan SM Tengku Ampuan Afzan (53).
Di Temerloh, 17 mangsa dipindahkan ke dua PPS iaitu Surau Kampung Lompat (11) dan SK Telok Ira (enam).
Tiga lagi daerah, masing-masing masih mempunyai satu PPS yang dibuka iaitu Dewan Serbaguna Jerantut Feri, Jerantut yang menempatkan 26 orang, Dewan Bukit Kota, Lipis yang menempatkan 10 orang dan Balai Raya Rekoh di Rompin membabitkan 60 mangsa banjir.
Sementara itu Pengarah Jabatan Pendidikan Pahang Dr Tajuddin Yusof berkata, sebanyak 27 buah sekolah di enam daerah telah digunakan sebagai PPS iaitu 17 di Kuantan, Pekan (lima), Temerloh (dua) dan masing-masing sebuah sekolah di Jerantut, Bera dan Maran. – BERNAMA