JOHOR BAHRU – Banjir di Segamat pulih sepenuhnya apabila dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang terakhir ditutup lewat petang tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Datuk Ayub Rahmat berkata PPS Sekolah Kebangsaan Balai Badang yang menempatkan seramai 10 orang daripada empat keluarga, ditutup pada pukul 5 petang.
Satu lagi PPS iaitu Sekolah Agama Kuala Paya pula ditutup pada pukul 6 petang. Ia sebelum ini menempatkan seramai tujuh mangsa daripada dua keluarga.
Kesemua mangsa yang dipindahkan ke PPS berkenaan adalah masing-masing penduduk Kampung Balai Badang dan Kampung Kuala Paya dalam Mukim Buloh Kasap, Segamat yang terjejas kediaman akibat dimasuki air dari Sungai Buloh Kasap. – BERNAMA