KUALA LUMPUR – Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengadakan lawatan rasmi ke Turkmenistan mulai hari ini hingga esok untuk meningkatkan hubungan dua hala di antara kedua-dua negara.
Dalam kenyataan hari ini, Wisma Putra berkata Anifah ditemani para pegawai dari Kementerian Luar.
Semasa lawatan itu, beliau akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Turkmenistan, Gurbanguly Berdimuhamedov dan seterusnya mengadakan mesyuarat dengan rakan sejawatannya, Rashid Meredov pada 11 Jan.
“Perjumpaan-perjumpaan ini akan memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk mengimbas semula hubungan dua hala yang sedia ada di antara Malaysia dan Turkmenistan di samping membincangkan peluang kerjasama dalam bidang-bidang lain yang boleh dipelopori.
“Kedua-dua pihak juga akan dapat bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan global berkepentingan bersama,” kata kenyataan itu.
Anifah turut dijadualkan berucap di Institute of International Relations of Turkmenistan.
Hubungan diplomatik Malaysia dan Turkmenistan sejak tahun 1992 telah menjalin kerjasama erat dalam pelbagai bidang seperti perdagangan serta pelaburan, pendidikan, kebudayaan dan sebagainya. – BERNAMA