TAIPING – Sebanyak 157 saman dikeluarkan kepada penunggang motosikal dalam satu operasi sempena Tahun Baharu di Kamunting dan sekitar Bandar Taiping di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Supt Razlam Ab Hamid berkata saman yang dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen, cukai jalan tamat tempoh, nombor plat tidak ikut syarat, tiada cermin sisi dan motosikal diubah suai.
Beliau berkata seorang lelaki berumur 19 tahun turut ditahan kerana merempit dan sebanyak sembilan buah motosikal disita dalam operasi berkenaan.
“Motosikal yang disita itu kita tahan dulu dan kita akan memanggil ibu bapa penunggang terbabit (penunggang motosikal yang disita) sebelum saman dikeluarkan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping di sini hari ini.
Sementara itu, Razlam berkata polis menahan seorang pelajar lelaki berumur 15 tahun dan seorang penganggur lelaki berumur 18 tahun kerana memiliki dadah jenis ketamin seberat 0.5 gram di sebuah pusat hiburan di sini malam tadi.
“Kedua-dua mereka ditahan dalam satu pemeriksaan polis yang dilakukan di pusat hiburan itu,” katanya.
Menurut Razlam, operasi bermula pukul 10 malam hingga 5 pagi tadi yang membabitkan 14 pegawai dan 83 anggota polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu bertujuan untuk membanteras kegiatan mat rempit dan pelbagai kesalahan lalu lintas serta dadah. – BERNAMA

