KUCHING – Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak tidak menerima sebarang laporan mengenai susu rumusan bayi tiruan di negeri ini setakat ini.
Ketua Seksyen Kesihatan Awam kementerian berkenaan, Dr Cheong Yaw Liang berkata biarpun begitu demi memastikan keselamatan pengguna terjamin pihaknya akan mengadakan pemeriksaan di pasar raya dan kedai runcit yang menjual susu rumusan bayi.
“Setakat ini di Sarawak belum ada sebarang laporan berkenaan susu rumusan bayi tiruan. Ibu bapa tidak perlu bimbang dan bermula hari ini kita akan mengadakan pemeriksaan di pasar raya serta kedai runcit yang menjual susu rumusan bayi di seluruh negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan pemeriksaan mengejut bersama penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan Majlis Bandar Raya Kuching Selatan ke Pasar Raya Besar Servay di sini hari ini.
Mengulas lanjut Dr Cheong berkata pemeriksaan di seluruh negeri akan dilaksanakan secara bersepadu oleh beberapa agensi.
Pada 7 Disember lalu, KPDNKK Johor merampas susu rumusan bayi yang disyaki tiruan yang dianggarkan bernilai RM42,000 dalam lima serbuan sekitar Johor Bahru. – BERNAMA

