KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri hari ini mengumumkan sumbangan sebanyak RM500,000 untuk Tabung Aman Palestin bagi membantu umat Islam di negara itu.
Menteri Besarnya Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata ia adalah permulaan kepada lebih banyak sumbangan buat tabung tersebut daripada rakyat negeri ini bagi membela kebajikan saudara seagama mereka di Palestin.
“Saya seru agar lebih banyak syarikat berkaitan negeri (GLC), badan-badan berkanun dan jabatan serta agensi kerajaan untuk memulakan sumbangan tabung Aman Palestin ini secepat mungkin.
“Sumbangan ini akan diberi kepada Aman Palestin agar projek pembangunan semula hospital yang musnah akibat serangan dapat dimulakan untuk memberi rawatan kepada rakyat Palestin yang tercedera dan bantuan lain kepada mereka,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Tabung Aman Palestin ketika waktu rehat persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Turut serta kesemua Anggota DUN (ADUN) termasuk 12 ADUN pembangkang yang hadir pada sidang DUN.
Ahmad Razif berkata kerajaan negeri juga amat terkilan dan marah dengan pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel menggantikan Tel Aviv.
“Beliau patut menarik balik pengumuman itu. Biarlah Baitulmuqaddis kekal menjadi milik Palestin. Pengumuman ini telah mencetus suasana tidak sihat di seluruh dunia. Kerajaan negeri akan berusaha sedaya upaya memastikan rakyat Palestin mendapat kembali hak mereka,” katanya. – BERNAMA