KUALA LUMPUR – Pusat jagaan rumah orang tua di Persiaran Sungai Long, Kajang, yang terbakar awal hari ini, tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Beliau berkata kejadian itu perlu dijadikan iktibar oleh pengusaha rumah warga tua dan kanak-kanak untuk mendaftar rumah jagaan masing-masing supaya tragedi seumpama itu yang meragut lima nyawa tidak akan berulang.
“Mana-mana pihak yang mewujudkan rumah jagaan orang tua dan kanak-kanak, silalah berdaftar dengan JKM kerana terdapat bantuan diberikan untuk membantu pengurusan tempat-tempat jagaan itu dalam keadaan terbaik,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Kejadian kira-kira 5 pagi itu mengorbankan Leow Chong Fah, 60, (lelaki) Kwan Sak Seen, 60, (lelaki), Teo Hoi Foo, 60, (wanita) dan Lai Sew Ying, 70 (wanita) serta seorang warden Awis Muhammad, 25, (lelaki).
Dalam perkembangan lain, Rohani berkata kementeriannya tidak akan berkompromi terhadap pihak yang terlibat kes penjualan bayi di negara ini dan mereka yang terlibat boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Kalau tak mahu anak itu, serahkan sahaja kepada JKM yang berdekatan. Insya-Allah kami akan menjaga anak itu dengan baik dan akan ada orang yang memberikan kasih sayang,” katanya.
Berdasarkan laporan media, sepasang kekasih ditahan pada Selasa kerana menjual bayi kembar lelaki mereka secara terbuka melalui laman web jual beli popular.
Suspek bagaimanapun dibebaskan hari ini atas jaminan polis manakala dua bayi lelaki mereka diserahkan kepada JKM.
Pasangan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 48 Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Jumaat lalu, satu iklan dimuat naik di sebuah laman web jual beli terkemuka negara, yang meletakkan gambar sepasang bayi kembar untuk dijual dengan harga RM15,000.
Iklan terbabit kemudian tular di laman media sosial dan aplikasi pesanan WhatsApp. – BERNAMA

