SEREMBAN – Tiasa kelulusan diberikan bagi aktiviti pembalakan di kawasan Bukit Baginda di daerah Kuala Pilah seperti yang tular di media sosial, kata Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan hari ini.
Pengarahnya, Salim Aman menafikan berita yang dimuat naik oleh seorang individu mengatakan akan berlakunya kerja pembalakan di kawasan hutan seluas 380 hektar itu.
“Pihak kami juga sudah memaklumkan perkara itu kepada pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Datuk Mohammad Razi Kail untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini.
Salim berkata pihaknya kemudian telah bertindak membuat laporan polis berhubung kes tular ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di sini pada pukul 5.19 petang tadi.
Beliau berkata berita yang ditularkan oleh individu tidak bertanggungjawab itu turut mendakwa aktiviti pembalakan di kawasan tersebut konon akan menyebabkan haiwan dan tumbuhan berkhasiat di hutan itu musnah. – BERNAMA