BUTTERWORTH – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki pengedar dadah dan merampas beberapa jenis bahan terlarang bernilai RM3,500 dalam serbuan di rumahnya di Permatang Tok Jaya, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata bertindak hasil maklumat dan risikan sejak seminggu lepas, polis menyerbu rumah lelaki itu pada pukul 9 pagi dan menahan suspek berusia 38 tahun.
“Berdasarkan risikan yang dijalankan, lelaki yang tidak bekerja itu terlibat dalam kegiatan mengedar dadah di sekitar daerah SPU sejak awal tahun ini dan semasa serbuan di rumahnya, polis merampas pelbagai jenis dadah.
“Antara dadah yang dirampas ialah heroin sebanyak 117.4 gram (g) dan 1.8g syabu, semuanya bernilai RM3,500,” katanya di sini hari ini.
Noorzainy berkata lelaki yang juga positif dadah itu turut mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan dia kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan. – BERNAMA