KUALA LANGAT – Adik ipar warga emas yang maut dalam kebakaran awal pagi di sebuah rumah di Jalan Tepi Laut, Tanjung Sepat, di sini hari ini, kesal tidak singgah bertegur sapa dengan mangsa ketika kali terakhir melihat mangsa di depan rumah pada Isnin lepas.
Lelaki berusia lingkungan lewat 50-an yang enggan dikenali itu, berkata abang iparnya Chia Tee Nang, 73, dan isteri Lim Mai Shak, 68 serta cucu lelaki mereka Ryan Chia Zeng Xi, 10 dan Chia Yuan Bin, 3 agak rapat dengannya yang tinggal berdekatan.
Katanya dia yang beberapa kali lalu di depan rumah pasangan warga emas itu pada Isnin lepas kira-kira 3 petang, ternampak abang iparnya di luar rumah.

“Saya hanya membunyikan hon kereta dan melambai kepada dia (Chia Tee Nang). Saya kesal tidak singgah di rumahnya untuk bertegur sapa,” katanya kepada pemberita sambil mengesat air mata ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu , pasangan suami isteri warga emas terbabit serta dua cucu lelaki mereka yang merupakan sepupu ditemui rentung di rumah mereka dalam kebakaran yang dipercayai akibat perbuatan khianat.
Seorang lagi cucu lelaki mangsa berumur 12 tahun yang merupakan abang kepada Ryan Chia, berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian itu dan sedang menerima rawatan di Hospital Banting akibat trauma.
Adik ipar mangsa itu berkata dia bergegas ke rumah tersebut sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian dan tidak menyangka ia meragut nyawa keempat-empat anggota keluarganya.
“Saya tidak sangka dua cucunya turut maut dalam kebakaran ini. Senyuman cucunya yang kecil (Chia Yuan Bin) yang sangat comel tidak mungkin dapat saya lupakan,” katanya dalam nada sebak.
Terdahulu, dua anak lelaki Tee Nang yang masing-masing bapa kepada kedua-dua kanak-kanak terbabit, turut berada di lokasi kejadian dalam keadaan sugul dan sedih.
Bagaimanapun, pihak media sukar mendapatkan kenyataan kedua-dua lelaki itu memandangkan mereka adalah orang kelainan upaya (OKU) pertuturan yang hanya berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat.
Sementara itu, Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela Tanjung Sepat, Lim Chin Lee, 57, yang merupakan antara saksi kejadian berkata beliau menggerakkan 20 anggotanya berserta dua jentera bagi memadamkan kebakaran sementara menunggu bantuan dari balai bomba terdekat.
“Bagaimanapun, usaha menyelamatkan mangsa sangat sukar kerana api telah marak dan sukar dikawal,” katanya.
Menurut Lim yang juga jiran mangsa, kanak-kanak lelaki yang terselamat sempat bercerita kepada penduduk kampung selepas kejadian itu.
Menurutnya kanak-kanak itu mendakwa dia melihat dua lelaki bertopeng bersama datuk dan neneknya ketika dia terjaga daripada tidur kira-kira 3 pagi selepas terdengar bunyi mencurigakan dari garaj kereta.
“Menurutnya dia yang ketakutan lari bersembunyi di dalam tandas dan nampak kepala datuk dan neneknya berdarah.
“Dia hanya keluar dari tandas selepas terhidu bau asap dan terus berlari menyelamatkan diri ke rumah pak ciknya yang terletak berhampiran sebelum datang semula ke rumah datuknya yang sedang terbakar dengan menaiki basikal,” katanya.
Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata polis percaya empat sekeluarga terbabit adalah mangsa bunuh, berdasarkan siasatan awal yang mendapati terdapat kesan tetakan pada tubuh mangsa. – BERNAMA

