KUALA LUMPUR – Seorang peniaga hari ini didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang selepas mengaku bersalah menjual 40 keping cakera video digital (DVD) cetak rompak, Oktober lepas.
Majistret Iriane Isabelo menjatuhkan hukuman itu terhadap Liong Mun Kan, 35, kerana menjual DVD pelbagai tajuk tanpa sijil perakuan B di tepi stesen minyak Petron Bandar Country Homes, Rawang, di daerah Gombak, di sini pada pukul 4 petang, 20 Oktober lepas.
Liong didakwa mengikut Seksyen 18(4) Akta Penapisan Filem 2002 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 18(5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Mahkamah turut memerintahkan Liong menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu. Dia membayar denda berkenaan.
Ketika rayuan, Liong yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman ringan dengan alasan dia insaf dengan perbuatannya.
Timbalan Pendakwa Raya, Ashwinii Thinakaran memohon hukuman berat yang berbentuk pengajaran terhadap tertuduh kerana perbuatannya mengundang nama buruk kepada negara di mata antarabangsa.
“Kegiatan seperti ini juga turut memberi kesan kepada industri perfileman,” katanya. – BERNAMA