SELEBRITI yang terkenal dengan kelantangannya bersuara, Azwan Ali hadir ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya di sini, pagi tadi.
Kehadiran Azwan adalah bagi menyerahkan bukti dan keterangan dokumen berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan rasuah dalam pentadbiran negeri Selangor.
“Saya bukan datang dengan tangan kosong ke sini tetapi dengan membawa dokumen dan bukti kukuh mengenai kes salah laku rasuah dan kemewahan melampau.
“Melibatkan siapa, saya tidak mahu komen,” katanya memetik sebuah portal berita tempatan.
Beliau bagaimanapun enggan menamakan abangnya yang juga menteri besar Selangor secara khusus.
Namun di Instagram, Azwan mendedahkan yang mana dokumen penyerahan itu berkaitan amalan rasuah dan kemewahan abangnya serta beberapa individu lain.
Adik kepada menteri besar Selangor itu pada Isnin bertemu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim bagi membuat aduan berhubung salah laku rasuah yang berlaku melibatkan ahli keluarganya sebelum ini.
Selebriti itu mahu menunjukkan dokumen kepada Razali namun Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu bagaimanapun menolak untuk melihatnya kerana berpendirian ianya perlu diserahkan kepada SPRM.
Azwan sebelum ini membuat kejutan dengan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 bagi mendedahkan ‘sesuatu yang besar’ mengenai abangnya itu yang telah disimpan sejak sekian lama. -MYNEWSHUB.CC