TEMERLOH – Sultan Ahmad Shah Environment Trust (SASET) menyasarkan untuk menanam 500,000 batang pokok di seluruh Pahang menjelang 2020, dalam usaha memastikan kelestarian alam sekitar.
Penaung SASET Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Muad’zam Shah Sultan Ahmad Shah berkata tumpuan diberikan di kawasan Hutan Simpan Kekal dan kawasan ekopelancongan seperti Taman Negara di Jerantut dan kawasan Ramsar atau tanah lembap di sekeliling Tasik Bera.
Katanya pelaksanaan program itu juga memerlukan kerjasama rakyat Pahang yang boleh memainkan peranan dalam program ‘Satu Rumah Satu Pokok’ supaya sasaran tersebut boleh dicapai secepat mungkin.
“Jenis pokok yang ditanam juga sesuai dengan kawasan sasaran. Sebagai contoh, di kawasan hutan simpan, pokok hutan pelbagai jenis seperti meranti, balau dan cengal menjadi pilihan untuk mengelakkan hutan itu mempunyai satu pokok tertentu sahaja.
“Untuk kawasan rumah, kita berikan pokok buah-buahan supaya memberikan hasil kepada penduduk, sekali gus meningkatkan minat mereka menyertai program ini,” katanya selepas merasmikan Program ‘Green Temerloh’ kolaborasi ‘Satu Rumah Satu Pokok’ dan ‘Rakan Taman’ di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, Pegawai Daerah Temerloh Datuk Mohd Fadzli Kenali dan Pengurus Besar SASET Sarhan Ismail.
Tengku Fahd Muad’zam Shah berkata pihak swasta juga disaran menyokong aktiviti pemuliharaan alam sekitar oleh SASET yang telah dianugerahkan sebagai badan bukan kerajaan terbaik oleh Jabatan Alam Sekitar Pahang pada Oktober lalu.
Mengulas mengenai program ‘Green Temerloh’, beliau berkata SASET akan menanam sebanyak 3,500 batang pokok di dua mukim di sini, melibatkan Kampung Paya Luas, Kampung Paya Pulai, Kampung Seberang Temerloh, Kampung Tanjung Batu, Kampung Pamah Kaseh dan Kampung Padang Lalang.
“Kita bermula di Temerloh kerana daerah ini titik tengah Semenanjung Malaysia dan berharap inisiatif ini akan disebarkan ke seluruh Pahang dalam masa terdekat,” katanya.
Sementara itu, Sarhan berkata SASET tidak sekadar menanam pokok, tetapi akan turut memantau perkembangan pokok yang ditanam supaya inisiatif mereka tidak menjadi seperti ‘melepaskan batok di tangga’.
Katanya pokok hutan yang dipilih juga disyaratkan mempunyai ketinggian minimum tiga hingga empat kaki bagi memastikan ia cukup kuat dan mempunyai daya ketahanan yang tinggi untuk terus hidup.
“Ini mengurangkan risiko kerugian jika pokok mati. Selepas tiga tahun, SASET akan kembali ke kawasan tanaman untuk melihat perkembangan pokok itu dan jika ada pokok yang perlu diganti, tindakan sewajarnya boleh dilakukan.
“SASET juga menubuhkan pasukan Temenggong Renjer terdiri daripada 50 penduduk tempatan di setiap daerah supaya mereka boleh memantau perkembangan pokok di situ,” katanya.
Untuk menarik minat generasi muda melibatkan diri dalam aktiviti pemuliharaan alam sekitar, Sarhan berkata SASET menubuhkan ‘SASET One Youth Volunteers’ yang menjalankan pelbagai program santai berkaitan alam sekitar.
“Program yang dijalankan memberi peluang kepada sukarelawan muda bukan hanya menanam pokok, tetapi juga meneroka kawasan yang hanya boleh dimasuki dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda atau melibatkan petempatan Orang Asli, menjadikan pengalaman itu lebih unik dan bermakna,” katanya. – BERNAMA