SANDAKAN – Kerajaan Sabah menyediakan peruntukan RM10 juta bagi menambah dana pusingan Yayasan Usaha Maju (YUM) pada tahun depan, kata Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman.
Beliau berkata kerajaan negeri komited menambah dana berikutan program pinjaman YUM menunjukkan hasil memberangsangkan manakala seratus peratus peminjam berjaya membayar balik pinjaman.
“Saya juga menyambut baik langkah YUM menyediakan produk pinjaman khas kepada ibu tunggal bagi membolehkan mereka menceburi aktiviti ekonomi berdasarkan kebolehan dan potensi masing-masing.
“Golongan ibu tunggal turut mendapat perhatian kerajaan negeri agar mereka tidak ketinggalan dalam arus perdana pembangunan Sabah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Pinjaman Usahawan YUM di sini, hari ini.
Musa berkata penyertaan dan sumbangan golongan usahawan wanita yang tinggi mendorong kerajaan memberi dana dan peruntukan khas kepada YUM bagi melaksanakan fungsinya kerana dana tersebut diyakini akan digunakan dengan baik serta bermanfaat demi memajukan diri.
Beliau berkata YUM memainkan peranan penting dan memberi sumbangan besar kepada pelaksanaan dasar-dasar pembangunan dan kesejahteraan rakyat khususnya mengurangkan kadar kemiskinan di negeri ini.
Musa berkata program seperti pembasmian kemiskinan, kebajikan, kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri bagi menekankan pentingnya menyantuni dan merasai jiwa rakyat.
Dalam pada itu, beliau menyokong perancangan lima tahun YUM sehingga 2020 dengan menjadikan aspek pembangunan Usahawan Mikro sebagai fokus bagi memastikan misi mentransformasikan anggota YUM menjadi usahawan berjaya.
Sejajar itu, beliau menggesa pihak pengurusan YUM agar tidak berdiam diri dalam keselesaan pencapaian masa kini, sebaliknya sentiasa meningkatkan keupayaan dan kualiti serta penyampaian perkhidmatan.
Pada majlis itu, Musa menyampaikan sijil pinjaman YUM kepada 35 penerima dari seluruh negeri ini.
Beliau juga menyampaikan Anugerah Khas Usahawan YUM kepada dua penerima yang berjaya, Jasmawati Hakim, 42, dan Jaliha Yusof, 52.
Jasmawati yang berasal dari Kampung Batu Putih Sandakan, mengusahakan kedai runcit, penyediaan makanan serta pemborong pakaian dan kain dari Indonesia.
Jaliha yang berasal dari daerah Papar, pula merupakan pengusaha makanan dan kini memiliki kilang pemprosesan makanan ringan dan kuih cincin. – BERNAMA

