ALOR SETAR – Kerajaan negeri menghantar 200 sukarelawan bagi misi bantuan pasca banjir di Pulau Pinang hari ini.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata operasi pasca banjir selama sehari ini tertumpu kepada agihan bantuan dan kerja-kerja pembersihan di negeri tersebut.
“Misi ini tertumpu kepada empat Parlimen di Pulau Pinang iaitu Parlimen Permatang Pauh, Tasek Gelugor, Kepala Batas dan Batu Kawan.
“Walaupun negeri yang terlibat ditadbir oleh pembangkang tetapi atas dasar kemanusiaan, kerajaan negeri tetap akan memberi bantuan kepada mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan pelepasan misi berkenaan di Wisma Darul Aman di sini.
Sukarelawan yang terlibat terdiri daripada Yayasan Jariah Malaysia, Gerakan Belia 4B Kedah, Pemuda UMNO Negeri, Briged Sukarelawan 1Malaysia dan syarikat pembersihan sisa pepejal E-Idaman Sdn Bhd.
Misi pasca banjir itu diketuai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri Mahadzir Abdul Hamid.
Mahadzir ketika ditemui berharap agar bantuan yang diberikan mampu mengurangkan beban yang ditanggung penduduk yang terjejas. – BERNAMA