PASIR PUTEH – Mayat seorang lelaki hampir reput ditemukan di sebuah rumah di Kampung Seri Aman 3 di sini hari ini.
Pasukan bomba menjumpai mayat mangsa dikenali sebagai Mustaffa Hamzah, 52, dalam keadaan terbaring di atas lantai rumah itu kira-kira 11.30 pagi tadi.
Abang ipar mangsa Abdul Rahman Yaacob, 60, ketika ditemui pemberita berkata beliau mengesyaki sesuatu apabila tidak melihat kelibat adik iparnya sejak tiga hari lepas.
Abdul Rahman yang tinggal berdekatan dengan rumah mangsa berkata berikutan itu, beliau mengambil keputusan untuk meninjau keadaan adik iparnya sebelum terlihat Mustaffa terbaring di atas lantai menerusi celahan pintu.
“Saya kemudiannya menelefon bomba Pasir Puteh untuk menyelamatkannya kerana pintu rumah tidak dapat dibuka,” katanya dan menambah arwah tinggal seorang diri dan menghidap beberapa penyakit termasuk kencing manis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata empat anggota bomba bertindak mengumpil pintu rumah yang dikunci dari dalam sejurus tiba di kediaman itu selepas menerima panggilan pada 11.25 pagi.
Beliau berkata mayat berkenaan diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Tengku Anis di sini untuk bedah siasat. – BERNAMA

