KOTA BHARU – Jumlah mangsa banjir di Kelantan menurun kepada 13,101 mangsa pada 1 tengah hari ini berbanding 13,539 pada 9 pagi tadi.
Selain itu, jajahan Jeli juga dilaporkan semakin pulih apabila 40 mangsa daripada sembilan keluarga yang ditempatkan di sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pada pagi tadi, dibenarkan pulang tengah hari ini.
Bagaimanapun menurut aplikasi infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 78 PPS masih dibuka di lapan jajahan setakat ini.
Pasir Mas masih mencatatkan jumlah paling ramai mangsa dipindahkan iaitu 9,609 mangsa yang ditempatkan di 46 PPS, diikuti Tumpat empat PPS menempatkan 1,089 mangsa daripada 359 keluarga.
Seramai 821 mangsa daripada 245 keluarga masih ditempatkan di lapan PPS di Pasir Puteh, manakala 683 mangsa berada di enam PPS di Kota Bharu dan 373 mangsa daripada 116 keluarga masih menghuni lapan PPS di Tanah Merah.
Selain itu, di Bachok seramai 216 mangsa daripada 56 keluarga berada di dua PPS, 210 mangsa ditempatkan di dua PPS di Machang dan 100 mangsa pula di dua PPS di Kuala Krai.
Menurut portal infobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas dilaporkan meningkat kepada 10.46 meter pada 12 tengah hari ini berbanding 10.40 meter 8 pagi tadi. Paras bahaya ialah sembilan meter.
Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat terus menunjukkan peningkatan apabila mencecah 3.71 meter berbanding 3.55 meter dalam tempoh sama. Paras bahaya ialah 2.50 meter.
Sementara itu, portal eBanjir Kelantan, ebanjir.kelantan.gov.my melaporkan tiada jalan utama ditutup kepada kenderaan hingga tengah hari manakala cuaca dilaporkan masih mendung. – BERNAMA

