SHAH ALAM – Kes demam denggi di Selangor menunjukkan trend penurunan dengan 40,164 kes dicatatkan bermula awal tahun ini sehingga 21 Okt lepas berbanding 45,432 kes sepanjang 2016.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Dr Daroyah Alwi berkata sehingga 21 Oktober, sebanyak 59 kes kematian dicatatkan akibat denggi berbanding 68 kes pada sepanjang 2016.
“Bagi tahun ini, daerah Hulu Langat merekodkan jumlah kes denggi tertinggi iaitu 12,249 kes dengan 28 kematian,” katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Tiew Way Keng (DAP-Teratai) mengenai faktor utama Selangor menjadi negeri yang mencatat kes demam denggi tertinggi di negara ini.
Dr Daroyah berkata antara faktor yang menyumbang kepada kes denggi di Selangor ialah kepesatan pembangunan yang menyaksikan banyak tapak pembinaan baharu menjadi tempat pembiakan nyamuk.
Beliau berkata RM5 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi menampung perbelanjaan aktiviti kawalan dan pencegahan nyamuk di Selangor tahun ini termasuk RM10,000 diperuntukkan kepada kesemua 56 anggota dewan undangan negeri bagi melaksanakan program pencegahan denggi di kawasan masing-masing.
“Kerajaan juga akan meminta pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan ke atas pemilik kereta terbiar yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata pihak berkuasa tempatan Selangor telah membayar RM6.167 juta sebagai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia sejak 2015.
Ada tuntutan GST yang belum dibayar balik kerana berlaku kekeliruan antara kedua-dua pihak, katanya ketika menjawab pertanyaan Ng Tien Chee (DAP-Balakong). – BERNAMA

