PORT DICKSON — Projek pembinaan janakuasa elektrik Jimah East Power yang membabitkan kos RM12.1 bilion, telah mencapai status siap 74 peratus.
Pengerusi Tenaga Nasional Bhd (TNB) Tan Sri Leo Moggie berkata projek ini dijangka siap mengikut jadual dan mencapai tarikh operasi komersial pada 15 Jun 2019 untuk Unit 1 dan 15 Disember 2019 bagi Unit 2.
“Dengan terlaksananya projek infra rakyat ini nanti, ia akan menyumbang kepada kestabilan sistem grid nasional.
“Apabila siap kelak, stesen janakuasa ini akan meningkatkan sumbangan kapasiti penjanaan TNB kepada kapasiti penjanaan negara daripada 51.8 peratus kepada 53.2 peratus.
“Projek ini menggunakan teknologi pembakaran arang batu yang efisien dengan kecekapan 40 peratus berbanding 36 peratus kecekapan dicatatkan oleh sistem arang batu berhablur,” katanya semasa berucap sempena lawatan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan ke Projek Stesen Janakuasa 2 x 1,000 MW Berasaskan Arang Batu di Jimah dekat sini hari ini.
Turut hadir Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Ir Azman Mohd dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Mat Ali Hassan.
Moggie berkata stesen janakuasa elektrik Jimah East Power serta stesen janaelektrik Manjung 4 dan Manjung 5, yang menggunakan teknologi Ultra Super Critical, merupakan stesen janaelektrik arang batu paling efisien di rantau ini.
“Berkapasiti 2 x 1,000 MW, stesen janakuasa elektrik Jimah East Power merupakan stesen janakuasa elektrik terbesar di negeri ini,” katanya.
Projek berkenaan dimiliki 70 peratus oleh TNB, dan baki 30 peratus dimiliki melalui syarikat perantara khas, Jimah East Power Sdn Bhd yang dimiliki oleh Mitsui & Co Ltd dan Chugoku Electric Power.
Pembinaan stesen janakuasa ini juga telah mewujudkan pelbagai peluang perniagaan kepada syarikat dan kontraktor tempatan serta peluang pekerjaan.
Sementara itu, Mohamad berkata pembinaan stesen janakuasa elektrik ini dapat menjadi pemangkin untuk menarik kedatangan pelabur ke negeri ini.
“Walaupun dalam keghairahan kita mahu membangunkan negeri ini tetapi kerajaan negeri sentiasa mementingkan pelaburan berkualiti, yang tidak memudaratkan masyarakat dan alam sekitar.
“Dengan adanya kemudahan asas seperti elektrik yang stabil dan bekalan air, saya yakin kita mampu menarik pelaburan industri yang berteknologi tinggi dan boleh membayar gaji yang tinggi kepada anak tempatan,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan dan menghulur bantuan yang diperlukan bagi memastikan pembinaan stesen janakuasa elektrik ini dapat disiapkan mengikut waktu yang ditetapkan. — BERNAMA