RAMAI wanita menjadikan selebriti sebagai ikon dan semangat pemangkin dalam sesuatu perkara termasuklah dalam hal ehwal rumah tangga dan keluarga.
Hanis Zalikha antara nama yang sering menjadi ikon buat wanita berkerjaya dan pada masa yang sama sudah mendirikan rumah tangga.
Sering sahaja berkongsi tips dan pengalamannya di laman Instagram, Hanis tidak terkecuali untuk mendapat reaksi negatif netizen termasuklah dalam hal penjagaan anaknya, Yusuf Iskandar.
Namun, pengacara dan juga pelakon 27 tahun ini tidak mengendahkan kritikan yang diberikan dalam membesarkan putera tunggalnya itu.

“Saya sudah terbiasa dengan komen-komen netizen yang sentiasa tidak kena di mata mereka dan ada sahaja topik yang ingin diperkatakan.
“Nak cakap apa pun, cakaplah. Kami tak pernah kecil hati dengan komen orang luar dan kami tahu apa yang terbaik untuk Yusuf.
“Bukan saya sahaja yang menerima kritikan, malah anak artis lain turut menerima nasib yang sama. Ada saja yang mereka nak kritik!” katanya dipetik mStar Online.
Pengasas Cakenis ini turut menyatakan posting yang dimuat naik di laman Instagramnya itu adalah perkongsian untuk ibu muda dan menjadi rujukan untuk dirinya sendiri.


“Selain berkongsi ilmu dengan orang lain, mungkin satu hari nanti bila saya dah ada anak kedua, saya boleh baca semula apa yang saya kongsi di laman sosial.
“Nanti kalau dah terlupa cara penjagaan bayi, boleh cari di Instagram sendiri,” ujarnya.
Tips dan ilmu yang dikongsikan Hanis juga merupakan pengalaman, hasil bacaan dan perkongsian daripada ahli keluarganya juga.
Jadi, rasanya tidak salah untuk isteri kepada pelakon Hairul Azreen ini berkongsi ilmu berkenaan dengan pengikutnya.
Hanis kini sibuk menguruskan perniagaannya. Namun, dia tidak menolak untuk menerima tawaran dan kembali aktif dalam industri.
Tetapi, buat masa terdekat ini, akui Hanis dia masih belum bersedia untuk kembali aktif kerana mahu fokus kepada keluarganya terlebih dahulu. – MYNEWSHUB.CC/SA
