KUALA LUMPUR – Jabatan Audit Negara mengesyorkan agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil inisiatif melaksanakan jualan tanah secara bidaan dalam memperoleh pulangan terbaik bagi pembangunan projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP).
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 2 yang dikeluarkan hari ini, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) turut disyorkan untuk menyediakan garis panduan dan prosedur kerja meliputi jualan tanah secara bidaan, kaedah pemilihan pemaju, pemantauan terhadap pemaju berhubung penapisan permohonan yang layak dan pengurusan data dalam portal sebagai panduan.
Selain itu, laporan itu turut menyarankan DBKL untuk mengambil tindakan tegas terhadap pemaju yang gagal melaksanakan obligasinya seperti ketetapan perjanjian dengan membatalkan tawaran atau menyenaraihitamkan pemaju terlibat.
Syor-syor berkenaan dibuat berikutan audit mendapati tanah milik DBKL telah dilupuskan secara jualan secara langsung kepada syarikat pemaju yang baru ditubuhkan, tidak aktif, kedudukan modal yang tidak kukuh dan tidak berpengalaman.
Ia juga turut melibatkan penjualan tanah kepada pihak yang tidak berwibawa mendedahkan DBKL kepada risiko kelewatan dan objektif projek yang tidak dapat dicapai.
Menurut laporan itu juga, audit turut mendedahkan tiada bukti penilaian harga tanah dibuat berasaskan nilai jualan dibuat terhadap projek Residensi Desa Satumas kepada pemaju Garuda Searah Sdn. Bhd., (GSSB) sebelum penawaran harga jualan dimuktamadkan pada nilai RM493 juta.
Semakan audit juga turut mendapati pemberian pengecualian 100 peratus caj pembangunan bagi Projek Residensi Gurneymas tidak mempunyai dokumentasi yang teratur mengikut prosedur yang telah ditetapkan dalam Kaedah-kaedah (Perancangan) (Caj Pembangunan) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2013 bagi menjamin ketelusan.
Selain itu, semakan audit turut mendapati faedah lewat bayar yang tidak dinyatakan dalam surat tawaran bagi penjualan tanah Lot 11590 kepada pemaju merupakan satu kecuaian menyebabkan DBKL tidak dapat mengutip faedah lewat bayar berjumlah RM493,046. – BERNAMA

