LANGKAWI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggerakkan operasi mencari dan menyelamat seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke laut berdekatan Pulau Rebak Besar di sini hari ini.
Mangsa, Mohd Aznan Rashid, 40, dipercayai terjatuh semasa menarik pukat kira-kira 2.00 pagi ini dan bot mangsa dikatakan berada tujuh batu nautika (kira-kira 13km) dari barat daya pulau itu.
Timbalan Pengarah Operasi APMM Daerah Maritim 1 (DM 1) Langkawi Komander Maritim Nurulazme Bin Zakariah berkata sepasukan lima anggota agensi itu telah digerakkan dalam sebuah bot untuk membuat pencarian dalam lingkungan 4 kilometer.
“Mangsa dikatakan tidak memakai jaket keselamatan semasa kejadian dan kali terakhir dilihat memakai pakaian berwarna merah dan seluar pendek berwarna biru,” katanya di sini.
Hingga 12.00 tengah hari ini, masih tiada sebarang penemuan dilaporkan. – BERNAMA

