• About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact
Saturday, May 16, 2026
  • Login
MYNEWSHUB
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral
No Result
View All Result
MYNEWSHUB
No Result
View All Result

Strategi “Cloud First” Diperkenal Agenda Nasional

oleh AK-47
20/10/2017
dalam Terkini
0
Share on FacebookShare on Twitter

PUTRAJAYA – Strategi “Cloud First” atau Pengkomputeran Awan Pertama akan diperkenalkan dalam agenda nasional, bermula dengan sektor awam, kerana ia amat penting bagi transformasi digital organisasi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata penggunaan strategi itu akan membolehkan kerajaan segera melaksanakan perkhidmatan sektor awam inovatif tanpa membabitkan perbelanjaan modal tinggi untuk melabur dalam infrastruktur Teknologi Maklumat (IT) seperti pusat data, pelayan dan penyimpanan data.

“Ini membolehkan kerajaan memperuntukkan sumber bagi program-program yang memberi lebih impak kepada rakyat.

“Dengan adanya strategi ini, tidak diragui bahawa kerajaan mengambil langkah menerajui penerapan transformasi digital,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaksanaan Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia ke-29 di Perdana Putra, di sini, hari ini.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan timbalannya Datuk Jailani Johari, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Najib berkata kerajaan juga boleh mempermudahkan penggunaan strategi itu oleh sektor swasta.

Dalam kes industri terkawal seperti perkhidmatan perbankan dan kewangan, penjagaan kesihatan serta telekomunikasi, beliau berkata para pengawal digalakkan mempercepatkan penerbitan garis panduan progresif bagi syarikat dalam sektor itu untuk mengaut faedah daripada strategi itu dan pada masa sama mematuhi peraturan.

Najib berkata kerajaan juga akan membangunkan Kerangka Kepintaran Buatan (AI) Kebangsaan, diperluaskan daripada Kerangka Analitik Data Besar (BDA) Kebangsaan yang akan diterajui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDeC).

Beliau berkata dalam dunia yang kini dihubungkan secara digital, jelas bahawa AI akan menjadi kuasa pemacu dalam revolusi industri keempat.

“AI boleh menjadi “pencetus perubahan” dalam menambah baik kehidupan rakyat Malaysia,” katanya.

Pada tahap-industri secara lebih luas, Najib berkata kerajaan akan mewujudkan Program Pemacuan Transformasi Digital (D-TAP) untuk syarikat besar dan peringkat pertengahan yang menyumbang 63.4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), untuk memacu penggunaan digital.

Beliau berkata industri-industri Malaysia masih jauh ketinggalan dari segi persediaan pelaksanaan digital sepenuhnya dan cabaran dihadapi antaranya kurang pendekatan berstruktur, batasan bajet, kekurangan pekerja digital serta persepsi bahawa transformasi digital adalah terlalu “pantas dan kompleks”.

Untuk memacu transformasi, beliau berkata kerajaan akan melantik Makmal Transformasi Digital untuk menyediakan khidmat perundingan dan membantu dalam membuat prototaip produk dan perkhidmatan digital yang baharu.

“Makmal-makmal itu kemudiannya akan melakukan pemadanan syarikat-syarikat peserta dengan syarikat-syarikat digital.

“Program berpaksikan hasil ini bertujuan untuk mencapai tiga hasil utama iaitu peningkatan produktiviti, pengurangan pergantungan pada buruh asing serta mewujudkan model perniagaan baharu atau sumber pertumbuhan bagi syarikat-syarikat peserta,” katanya.

Najib berkata 2017 adalah tahun Ekonomi Internet bagi Malaysia dengan peristiwa penting akan datang adalah pelancaran Zon Perdagangan Bebas Digital di luar China pada 3 Nov.

Selepas mesyuarat itu, perdana menteri menyaksikan pertukaran dokumen bagi penubuhan hab operasi Mountain Partners bagi Asia Tenggara di Malaysia.

Menerusi penubuhan hab operasi itu, syarikat pembinaan berpangkalan di Switzerland itu akan membantu lebih 15 syarikat portfolio global mereka untuk diperluaskan ke Malaysia dan mewujudkan lebih 400 peluang kerja, termasuk lebih 50 jawatan C-suite (eksekutif kanan tertinggi).

Mountain Partners juga akan menubuhkan tabung dengan dana US$100 juta untuk melabur dalam syarikat pemula niaga dalam bidang teknologi di Malaysia dan Asia Tenggara.

Najib turut menyaksikan pertukaran dokumen perkongsian antara firma ekuiti Leonie Hill Capital dan IP Bridge berpangkalan di Jepun, yang akan menyaksikan Malaysia sebagai tempat untuk penerokaan inisiatif mereka.

Perkongsian itu menerusi inisiatif peluasan global lP Bridge, menyaksikan ManGo Factory juga akan dipindahkan ke lebih 10 syarikat pemula niaga Asia Tenggara dan Jepun di Malaysia, menyediakan mereka dengan fasiliti, akses dan peluang pasaran di Jepun. – BERNAMA

Tags: Datuk Seri Najib Tun Razak
Share196Tweet123SendShare

Related Posts

‘Najib Tetap Ingat Rakyat, Sampaikan Salam Kasih Kepada Semua’ – Sempat Kongsi Pendapat Hal Harga Minyak

‘Najib Tetap Ingat Rakyat, Sampaikan Salam Kasih Kepada Semua’ – Sempat Kongsi Pendapat Hal Harga Minyak

11/04/2026
0

KUALA LUMPUR – Anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohd. Nazifuddin berkongsi detik menyentuh hati...

Nazif Banding Cara Najib, Anwar Urus Krisis Minyak

Nazif Banding Cara Najib, Anwar Urus Krisis Minyak

07/04/2026
0

KUALA LUMPUR – Anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohd. Nazifuddin meluahkan rasa kesal terhadap...

MYNEWSHUB

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd

Navigate Site

  • About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact

Follow Us

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd